KUALA LUMPUR: Setiap pandangan dan luahan rakyat akan pasti didengari dan diambil kira kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini sejajar dengan Aspirasi Keluarga Malaysia, tiada pihak akan tertinggal.

Malah kerajaan ujarnya akan terus bekerja bersama rakyat dalam mencapai pelan jangka sederhana dan panjang.

"Mengambil kira analisis sentimen rakyat yang telah dilaksanakan terhadap Ahli Jemaah Menteri dan kementerian, setiap pandangan dan luahan rakyat mesti didengari dan diambil kira untuk menambah baik sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan, umpama memerah nyiur, santan diambil, hampas dibuang.

"Inilah janji saya kepada Keluarga Malaysia," jelasnya.

Mengulas mengenai pencapaian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia, tambah Ismail, kerajaan akan terus bekerja keras dalam memastikan setiap pelan dicapai.

"Pencapaian 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia tidak akan terhenti setakat ini.

"Malah aspirasi kami untuk bekerja bersama rakyat akan berterusan, melalui pelan jangka masa sederhana bagi tempoh 6 bulan dan sasaran jangka panjang," ujarnya ketika melancarkan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara pada Khamis.


Jualan Murah Keluarga Malaysia

Mengenai kenaikan harga barangan pula, ujar Ismail Sabri, kerajaan telah mengambil tindakan segera dalam mengawal harga dengan memperkenalkan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) bagi barang keperluan.

Malah kerajaan tambahnya telah meluluskan insentif tambahan bernilai RM262 juta bagi mengurangkan tekanan dihadapi para petani.

"Kerajaan peka terhadap keluh kesah rakyat, terutama peningkatan harga barang yang naik mendadak.

"Untuk menanganinya, kerajaan telah mengambil tindakan segera mengawal harga, dengan memperkenalkan Skim Kawalan Harga Maksimum barang keperluan.

"Jualan Murah Keluarga Malaysia telah diadakan di setiap kawasan Parlimen, bermula 4 Disember 2021," jelas Ahli Parlimen Bera itu lagi.